oleh: TUAN GURU HAJI HADI BIN AWANG
Bahagian 1
Muqqadimah
Umat Islam kini menghadapi perkembangan baru dengan cabaran modern, yang berhadapan dengan aqidah dan iman mereka. Ianya berbeza dengan ketika umat ini menghadapi kebanjiran falsafah asing yang diterjemahkan, sehingga melahirkan fahaman Mu’tazilah, Jabariah, Qadariah dan sebagainya, sehingga ilmu aqidah yang murni dapat di pertahankan. Sesungguhnya, itulah janji Allah kepada Islam dan penganutnya. Maka lenyaplah segala yang bathil, sehingga kita dapat mewarisi yang hak daripada Allah. Tetapi pertarunnngan di antara iman dan kufur, hak dan bathil tidak terhenti sekadar itu sebagai suatu kelebihan kurniaan Allah kepada orang-orang yang beriman, agar penentang-penentang lebih melayakkan diri mereka menjadi penentang dan mempunyai peluang yang banyak untuk sedar dan insaf.
Zaman pemujaan patung dan berhala, menyembah syaitan dan jin yang dipuja sudah banyak penjelasan untuk memahaminya. Begitu juga tentang Mu’tazilah, Jabariah, Qadariah dan sebagainya sudah cukup untuk dimengertikan. Tetapi ideologi-ideologi modern, teori-teori dan falsafah-falsafahnya yang memuja kebendaan sebagai patung bentuk baru, mengubahkan ‘semah’ dengan nama pesta-pesta, sesungguhnya mengelirukan banyak orang yang mengaku Islam. Tanpa disedari atau memang disedari, telah bertindak ke peringkat melampaui batas-batas iman dan tauhid dan terpelanting ke dalam batas-batas kufur, syirik dan nifaq.
Saya kemukakan kepada saudara-saudara muslimin an muslimat yang saya kasihi, sekadar kemampuan yang ada, dengan memohon penuh taufiq dan hidayah daripada Allah SWT agar dibukakan cahaya kebenaran-Nya menembusi hati-hati yang sentiasa berbalik-balik dan berubah-ubah sikap dan pegangan, supaya mereka melalui jalan-Nya yang Mustaqim dan Iltizam dengan perintah-Nya, di samping rela berkorban demi menegakkan kalimah-Nya.
Apabila segala-galanya berpunca dari iman, yang disebut juga aqidah, bahkan menjadi asasnya, fahamlah kita betapa perlu iman dan aqidah itu di dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Maka saya kemukakan kitab ini, berjodol “Aqidatul Muslimin” untuk renungan bersama. Kitab ini membicarakan tentang aqidah, rukun iman dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Ianya bermula dengan batas-batas iman dan kufur, untuk difahami secara ringkas tentang takrif dan huraiannya sebagai ilmu dan amaran, agar tidak melampaui batas-batas iman dan Islam. Semoga kita tidak termasuk di kalangan orang-orang yang menyesal pada hari kemudian. Amal dan sumbangan yang dibina di atas iman sahaja menjadi pembela sebenar dihadapan qadhi Rabul Jalil.
Di dalam menjelaskan Rukun Iman: Beriman kepada Allah, Rasul, Malaikat, Kitab-Kitab, hari Akhirat dan Qada’ dan Qadar, saya hanyalah memberi penekanan kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya dengan tidak memanjangkan hujjah fikiran manusia dan falsafah mereka sebagaimana menjadi kelaziman dalam perbincangan ilmu aqidah ini, sehingga kita hilang punca dan tidak memahami hubungan aqidah dan iman dengan realiti yang ada. Dengan itu kita hayati bersama-sama arus yang mencabar aqidah yang sebenar, walaupun di tengah perbincangan ilmu aqidatul iman.
Di dalam menjelaskannya juga, saya merujukkan kepada hujjah yang pernah dikemukakan oleh para ulama’ mujaddidin dan mujahidin di kalangan salaf dan pengikut mereka yang berterus-terang membetulkan penyelewengan aqidah di zaman masing-masing, dengan tidak takut dan gentar melainkan Allah SWT. Mudah-mudahan kita mendapat berkat dan manfaat daripada mereka yang beramal dengan ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka.
1 ulasan:
bacalah korang......rugi ni....
Catat Ulasan